Saturday 26 November 2011

CADANGAN PENUBUHAN INTERFAITH COMISSION (IFC)


Di Malaysia, Gerakan Liberalisme dalam persamaan agama-agama dicadangkan dengan penubuhan InterFaith Commission (IFC) atau nama asalnya Inter Religious Council (IRC) atau Majlis Suruhanjaya Antara Agama-Agama.  Badan ini berfungsi seperti sebuah mahkamah dan segal keputusannya adalah muktamad ke atas agama-agama yang terbabit.


Antara kandungan memorandum IFC:
1.    Orang Islam hendaklah diberi hak murtad tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah.

2.    Seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

3.    Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4.    Tidak perlu dicatat dalam kad pengenalan seorang muslim bahawa ia beragama Islam.

5.    Orang bukan Islam tidak perlu menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.  Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

6.    Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak.

7.    Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8.    Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang sama untuk masjid.  Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan-peraturan tertentu.

9.    Orang bukan islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10.  Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

11.  Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12.  Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan.  Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13.  Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14.  Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Dari butir-butir memorandum di atas dapat dilihat bahawa agenda utama penubuhan IFC adalah meletakkan semua agama dalam kedudukan yang sama, sehingga setiap orang bebas untuk menentukan status agamanya dan tidak ada halangan bagi seorang muslim untuk murtad.

Cadangan penubuhan IFC tersebut akhirnya mendapat tentangan pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia sehingga tertubuhnya ACCIN (Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs) yang menyatakan bahawa penubuhan IFC akan membahayakan agama Islam sebab:

1.  Penubuhan IFC membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal-ehwal agama Islam.

2.  Penubuhan IFC menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan akidah.

3.  Penubuhan IFC akan menjadikan orang Islam bebas melakukan apa sahaja.

4.  Penubuhan IFC akan membuat orang bebas untuk murtad.

5.  IFC berhak menentukan status agama seseorang, sebab seseorang yang ingin murtad boleh mengemukakan permohonannya kepada IFC.


Masa kini, umat Islam tidak boleh duduk semeja hatta untuk membincangkan kepentingan umat Islam itu sendiri.  Persoalan ini wujud kerana kekuatan politik yang ada di dalam genggaman orang Melayu kini semakin longgar, perpecahan dan perbezaan ideologi politik serta ditambah pula dengan keghairahan untuk merebut kuasa telah menyebabkan orang Melayu/Islam berpecah belah.

IFC lahir di celah-celah perpecahan umat Islam.  Sedih melihat masih ada segelintir umat Islam menyokong tindakan penubuhan IFC yang diketuai oleh bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srinevasen.  Kini terserahlah kepada kepimpinan parti-parti Islam untuk menilai dan menentukan apa yang patut diusahakan. 


 
   
Selamatkanlah mereka ini daripada terus dipergunakan oleh orang kafir.

No comments:

Post a Comment