Thursday 17 November 2011

Syiar Kristianisasi di laman sosial Facebook.


ISNIN, 1 OGOS 2011

Group mempromosi murtad di Malaysia: Mohon seluruh umat Islam laporkan kepada SKMM dan Polis

Di kala umat Islam bergembira dengan kehadiran Ramadhan bermula hari ini, saya berasa amat marah dan kecewa apabila membaca posting yang dibuat oleh seorang rakan mengenai satu group yang diwujudkan untuk mempromosikan murtad di Malaysia dan Singapura. 


Page laman sosial Facebook bertajuk 'Murtads in Malaysia and Singapore'. Adakah kita terus lena menunggu ditimpa bala.
Group berkenaan yang bertajuk Murtads in Malaysia and Singapore secara jelas dan berani menyatakan tanpa berselindung kenyataan berikut bagi menggambarkan agenda mereka:

"Kumpulan ini terbuka kepada mereka yang murtad dari Islam di Malaysia dan pihak-pihak yang ingin menyumbangkan sokongan moral kepada mereka yang murtad. Objektif kumpulan ini adalah untuk menjadikan sistem sokongan moral kepada mereka yang telah murtad dari Islam di Malaysia."


Ia juga bukan sekadar mempromosikan murtad malah turut bersikap anti-kerajaan apabila mengeluarkan kenyataan berikut:

"Kerajaan Malaysia telah bertindak dengan menyekatkan laman web yang bertajuk Faith Freedom International (Kebebasan kepada Kepercayaan Antarabangsa) di alamat: http://faithfreedom.org/. Penggunaan Internet di Malaysia kini sedang dikawal dengan ketat. Mereka yang dijumpai dan dipercayai oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Islam di Malaysia menyalahgunakan Internet adalah mereka yang mengakses dan mengeluarkan maklumat yang tidak disetujui oleh matlamat pengislaman negara Melayu Malaysia. Kawalan ini telah melibatkan rakyat Malaysia yang hanya bersuara di Internet ditangkap dan dihukum dengan berat. Murtad telah difatwakan oleh kerajaan Islam di Malaysia sebagai ancaman keselamatan negara dan jenayah berat."

Jika admin dan ahli group ini merasakan tindakan Kerajaan Malaysia itu salah dan seluruh umat Islam harus diberikan kebebasan untuk murtad dengan menggunakan alasan kebebasan beragama seperti yang termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan, saya mohon mereka untuk membaca peruntukan berkenaan SEHINGGA HABIS dan bukan di Fasal 1 sahaja.

Perkara 11. Kebebasan Beragama

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—

(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;

(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan

(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Kewujudan group ini secara jelas bukan saja tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Ugama Persekutuan (Perkara 3 Perlembagaan) dan sensitiviti umat Islam di Malaysia malah lebih buruk lagi, ia boleh menjadi pencetus kepada pertelingkahan antara agama di negara ini.

Antara komen bencikan Islam lantang dan berani.
 Saya merasa sedikit terkilan apabila mendapati terdapat sebilangan ahli politik Malaysia turut menyertai group ini. Cuba semak sendiri, profile mereka ini sememangnya tulen, bukan palsu. Tambahan pula, mereka yang ingin menyertai group ini perlu request (Ask to join group). Bukankah itu tandanya mereka sememangnya berniat untuk menyertai group berkenaan?

Dengan doa kami berharap semoga mereka diberi hidayah.




 Ahli-ahli politik ini seharusnya mengajak rakyat Malaysia untuk menghormati Perlembagaan, menjaga sensitiviti umat Islam dan bukannya menunjukkan solidariti ke atas perkara yang mempromosiikan murtad sebegini. Apa pun alasan yang mungkin diberikan sama ada sekadar suka-suka, mahu mentarbiah atau mahu berdialog, kehadiran mereka ke group tersebut sungguh mengecewakan. Mereka memberikan mesej yang salah dengan menyertainya.


Kepada rakan-rakan sekalian, tidak perlu untuk menyertai group tersebut sama ada  untuk membantah atau berdialong dengan mereka. Tiada gunanya untuk mentarbiah kerana mereka telah set di minda untuk mempelopori usaha murtad di Malaysia apabila mengeluarkan kenyataan berikut:

"Jadi, marilah kita semua menjadikan tempat ini sebagai tempat pelindung kepada murtad-murtad di Malaysia dan menghulurkan bantuan and sokongan kepada mereka. Ini boleh menjadi tempat yang selamat penuh dengan dorongan dan sokongan kepada apa jua pilihan yang dibuat oleh mereka yang murtad. Tanggungjawab kita semua hanyalah untuk menerima mereka ini sebagai seseorang individu yang berhak membuat pilihan, dan juga menerima mereka sebagai individu yang berhak untuk hidup dan bebas dari hukuman Sharia Islam."

Saya telah melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kewujudan group ini di laman berikut http://aduan.skmm.gov.mydan merayu agar semua umat Islam lain di Malaysia yang prihatin agar turut berbuat demikian. Saya percaya, sekiranya SKMM menerima bantahan dan aduan sebegini dalam jumlah yang besar, pasti mereka akan mengambil tindakan yang pantas untuk menanganinya.

Dan juga, sekiranya berupaya, mohon adukan juga kepada pihak polis agar perkara ini ditangani secara tuntas dan berkesan. Saya akan melakukannya pada kadar segera.

Mohon panjangkan pengetahuan ini kepada rakan-rakan yang lain agar semua berhati-hati akan kewujudan agenda keji untuk memurtadkan umat Islam di Malaysia. Semoga sedikit usaha kita ini akan memelihara iman dan Islam kita semua.



No comments:

Post a Comment