Friday 28 October 2011

AUDIT DEDAH BAGAIMANA RAKYAT KENA PERAS

Laporan Ketua Audit Negara 2010 memperlihatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang diketuai Khalid Ibrahim berjaya mengumpulkan banyak duit berbanding sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

Betul ke atau retorik? Di sini SUARA 3.0 mahu memperlihatkan bagaimana kerajaan negeri memperbodohkan rakyat Selangor. Kesian rakyat Selangor. Baca paparan di bawah dengan teliti dan berfikirlah secara bijaksana agar kita semua tidak terjebak dengan janji-janji manis ‘pak sheikh’ dan konco-konconya itu.  

Untuk itu SUARA 3.0 mahu berkongsi dengan masyarakat berhubung laporan berkenan dalam ‘penyata kewangan kerajaan negeri dan pengurusan kewangan jabatan/agensi negeri selangor 2010’ yang terdapat pada muka surat 38.

4.8.1.9 Analisis Audit memperlihatkan baki tunggakan bayaran balik Pinjaman Boleh Dituntut pada 2006 sehingga 2010, mencatatkan trend menurun secara beransur-ansur. Baki tunggakan bayaran balik pinjaman menurun dari RM306.14 juta pada 2006 menjadi RM113.06 juta pada 2009. Pada 2010 pula, tunggakan bayaran balik pinjaman meningkat RM20.68 juta menjadi RM133.74 juta daripada jumlah 2009. Ini kerana peningkatan RM3.59 juta bagi Badan Berkanun Negeri, RM70,000 bagi PBT dan RM17.02 juta bagi Badan-Badan lain.

4.8.1.10 Analisis perbandingan antara jumlah baki Pinjaman Boleh Ditutut dan baki tunggakan bayaran balik Pinjaman Boleh Dituntut pada 2010 mendapati pencapaian pembayaran Pinjaman Boleh dituntut pada tahun berkenaan adalah kurang memuaskan. Ini disebabkan Baki Pinjaman Boleh dituntut meningkat RM18.38 juta dan baki tunggakan bayaran balik Pinjaman Boleh Dituntut turut mencatatkan peningkatan RM20.68 juta.

Oleh itu, rakyat negeri ini boleh menilai mengenai kenaikan Cukai Taksiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor pada muka surat 84 laporan audit itu.

10.5.2. Analisis Tunggakan Cukai Taksiran PBT. Pada keseluruhannya, lapan daripada 12 PBT negeri mengemukakan Penyata Kewangan 2008 telah mengalami peningkatan tunggakan cukai taksiran antara 3.5 peratus hingga 25.8 peratus berbanding 2008. Bagaimanapun, empat PBT mampu mengurangkan tunggakan cukai taksiran pada 2009 antara 0.2 peratus hingga 18.5 peratus.

Intipati daripada Laporan Ketua Audit Negara 2010 itu menunjukkan trend meningkat hasil Kerajaan Negeri selain pemilikan wang tunai yang banyak. Bagaimanapun, cara mereka memperolehinya, sebenarnya dengan cara memeras rakyat secara berhemah.
Untuk itu, kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim pasti tersenyum kambing dan bangga dengan peningkatan hasil mereka menerusi ‘pemerasan’ pembayaran cukai dan hasil lain yang membabitkan rakyat Selangor.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 itu memang nampak bagus, tetapi hakikatnya rakyat Selangor menderita kerana diperas secara tidak sedar. Pemaksaan pembayaran cukai bagi mendapatkan lebih banyak hasil untuk Selangor itu mirip sistem kapitalis yang tidak  berperikemanusiaan.

Kebenaran ini dapat dilihat pada peningkatan Hasil Cukai 2010 iaitu RM517.74 juta berbanding pada zaman BN dipimpin Khir Toyo berjumlah RM446.05 juta. Begitu juga Hasil Bukan Cukai yang memungut RM674.06 juta berbanding zaman Khir Toyo RM559.82. Sementara, Terimaan Bukan Hasil pula turut meningkat kepada RM379.70 juta berbanding zaman Khir Toyo RM279.23 juta.

Keadaan ini sudah tentu Khalid dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat bangga gila kerana mereka telah mentadbir secara cekap, bersih, telus dan tidak rasuah. Bangkitlah rakyat Selangor dan cukuplah ditipu oleh permainan licik mereka.

Mereka boleh kata apa sahaja berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara itu, namun  apa yang berlaku sebenarnya adalah sebaliknya iaitu Peningkatan Kadar Cukai, sekali gus mengurangkan perbelanjaan bagi faedah rakyat. Itulah hebatnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang dipelopori dua anak Brahim (Khalid Ibrahim dan Anwar Ibrahim).

Justeru, pembohongan tentang KEBAJIKAN RAKYAT yang dijaja selama ini hanya retorik untuk menyedapkan halwa telinga dengan harapan rakyat akan melupakan peningkatan cukai yang sedang mereka tanggung, terutama menerusi pelbagai program yang hanya pada nama, tetapi tidak pernah dipraktikkan Kerajaan Selangor.

NOTA: Rakyat tidak sebodoh yang disangka oleh kerajaan PR Selangor. Semoga paparan demi paparan ini dapat mengubah hati dan fikiran rakyat Selangor agar tidak membuat pilihan SALAH pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

No comments:

Post a Comment