Monday 31 October 2011

RAPUH IMAN, RUNTUH PERPADUAN

Satu Kiblat, Satu Tuhan, Satu Malaysia.

Cinta itu indah.  ia sesuatu yang besar yang datang daripada Allah Yang Maha Besar.  Kalimah hub (cinta) kerap diulang sebut di dalam al-Quran.  Sejak dahulu hingga kini, manusia terus-menerus memburu cinta.  Persoalannya, adakah cinta kuasa, wang dan lain-lain di atas dunia ini menjadi matlamat kita? 

Tidak kira bagaimana cinta ditafsirkan, orang yang pernah mengalaminya sahaja yang dapat merasakannya.  Sampaikan ada orang yang berkata, sesiapa yang tidak pernah bercinta, berkuranglah kebahagiaan dalam hidupnya di dunia ini.  Syair Arab ada mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mengenal cinta maka dia tidak akan mengenal keajaiban dunia!

Cinta memang indah kerana ia datang daripada Allah Yang Maha Indah.  Tidak ada ciptaan yang buruk di sisi Allah.  Buruk dan baik hanya soal relatif yang dirujuk kepada ilmu manusia yang terbatas berbanding ilmu Allah Yang Maha Luas.  Justeru, jika kita mencintai ciptaan Allah yang indah itu pun sudah nikmat, apalagi kalau kita mencintai Pencipta keindahan itu sendiri, maka sudah tentu nikmatnya lebih berganda.  Oleh sebab itulah menurut pandangan ulama, nikmat yang paling tinggi di syurga nanti ialah kenikmatan dapat melihat wajah Allah! Masyaallah . . .

Orang Mukmin (mereka yang berjuang untuk Islam) tetap memilih untuk mencintai Allah, lebih daripada segala-galanya.  Untuk itu ia sanggup berkorban apa saja demi kecintaannya.  Ia rela bercinta dengan sesiapa dan apa-apa sahaja,  jika cinta itu kerana dan untuk Allah.  Dan ia rela berpisah dan bermusuh dengan sesiapa sahaja yang menghalang cintanya kepada Allah.  Dia juga rela bersaudara dengan sesiapa sahaja kerana cinta Allah. 

Jadi tintedhijau ingin berkongsi beberapa cerita yang boleh dijadikan iktibar untuk kita semua.  Dalam perang Badar misalnya, Sayidina Abu Bakar r.a. berada di pihak tentera Islam tetapi anaknya yang belum Islam berada di pihak musuh.  Dalam perang itu, anaknya selalu mengelak daripada bertembung dengan bapanya (Abu Bakar).

Bertahun-tahun selepas perang Badar, anak Abu Bakar memeluk Islam dan meluahkan isi hatinya:  “Ayah, dalam peperangan Badar dahulu anakanda mengelak diri daripada bertarung dengan ayah.  Anakanda sangat sayang ayah walaupun kita berbeza keyakinan.”  Namun, apa jawapan Sayidina Abu Bakar?  Beliau berkata:  “Demi Allah, jika ayah bertemu kamu waktu itu, nescaya ayah tidak teragak-agak memancung kepalamu!”

Cinta Allah juga dapat mengeratkan hubungan dua insan yang pada mulanya bermusuhan.  Umar al-Khattab misalnya pernah berkata tentang Umair bin Wahab (Umair datang ke Madinah untuk membunuh Rasulullah s.a.w.):  “Babi lebih aku sukai daripada Umair bin Wahab.”  Namun, setelah Umair insaf dan mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Rasulullah s.a.w., Umar al-Khattab berkata:  “…tetapi saat ini aku lebih suka Umair daripada anak-anakku sendiri.”

Ingatlah saudaraku sekalian, Islam tidak akan bangun sekiranya tidak ada cinta seumpama itu.  Cinta Allah menyatukan dua pihak yang saling mencintai-Nya!  Ia dapat mempersaudarakan antara dua buah Negara yang bersengketa,  antara dua puak yang bertelagah, dan antara dua insan yang bermusuhan.  Orang yang paling intim dengan Allah, sewajarnya juga paling intim dengan manusia.  Inilah mesej tintedhijau kali ini,  menyeru kepada cinta Allah untuk memantapkan cinta sesama manusia kerana apabila rapuh iman akan runtuh perpaduan!

NOTA:  UNTUK BERSATU UMAT ISLAM MESTI KEMBALI KEPADA YAHG SATU (ALLAH).  HANYA DI SITU KITA AKAN BERTEMU DENGAN TUJUAN DAN JALAN YANG TEPAT DAN JELAS KE ARAH PERPADUAN.  INGATLAH, SIAPA YANG MENCARI KEBENARAN PASTI BERTEMU KEBAHAGIAAN.

No comments:

Post a Comment